fb fb fb fb fb

Axolotl seludup jadi tarikan baharu di akuarium terbesar Rio

Foto Reuters

RIO DE JANEIRO, 30 Julai – Spesies amfibia terancam, axolotl kini mencuri tumpuan pengunjung di AquaRio, akuarium terbesar di Rio de Janeiro, selepas diselamatkan dalam operasi antipenyeludupan oleh pihak berkuasa Brazil pada tahun 2022.

Sebanyak 22 ekor axolotl telah dirampas oleh Institut Alam Sekitar dan Sumber Asli Brazil (Ibama) bersama Polis Persekutuan dan pada awalnya ditempatkan di BioParque do Pantanal di negeri Mato Grosso do Sul sebelum dipindahkan ke AquaRio.

Ahli biologi marin AquaRio, Rafael Franco berkata axolotl memainkan peranan penting dalam usaha kesedaran pemuliharaan.

3007 LNR BRAZIL ANIMALS AXOLOTLS 2Sebanyak 22 ekor axolotl telah dirampas oleh Institut Alam Sekitar dan Sumber Asli Brazil (Ibama) / Foto Reuters

“Axolotl boleh berfungsi sebagai duta untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan memelihara spesies terancam yang berasal dari Mexico ini,” katanya.

Makhluk yang sering digambarkan seperti naga mini itu kini dipamerkan dalam satu ruangan khas bertajuk “Kerajaan Axolotl” dan menarik kunjungan ramai.

“Saya pernah meneliti tentang haiwan ini. Ia sangat menarik bagi saya,” kata Wilson Heron, seorang pemandu aplikasi dan peminat akuarium yang mengunjungi pameran tersebut.

Pameran itu turut bertujuan mendidik orang ramai mengenai ancaman yang dihadapi axolotl serta menggalakkan kerjasama global dalam membanteras penyeludupan hidupan liar dan melindungi spesies terancam di seluruh dunia. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN