fb fb fb fb fb

Gempa kuat cetus amaran tsunami di rantau Pasifik

Foto AFP

TOKYO, 30 Julai - Gempa bumi kuat berukuran magnitud 8.7 yang berlaku di pesisir timur Rusia pada Selasa telah mencetuskan amaran tsunami di beberapa bahagian di rantau Pasifik termasuk Jepun, Hawaii, Rusia, Ecuador serta pesisir barat Amerika Syarikat.

Menurut Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang berpusat di Honolulu, gelombang tsunami setinggi sehingga tiga meter berkemungkinan melanda pesisir Rusia, Hawaii serta pantai barat Ecuador dan Chile.

Amerika Syarikat turut mengeluarkan amaran tsunami dari Alaska hingga ke seluruh pesisir California, manakala Jepun menaik taraf amaran tsunaminya selepas magnitud gempa itu dinaikkan oleh USGS daripada 8.0 kepada 8.7.

Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran bahawa gelombang tsunami dijangka melanda secara berulang kali dan menggesa orang ramai agar tidak menghampiri laut sehingga amaran ditarik balik.

Penyiar awam, NHK melaporkan tsunami setinggi satu meter dijangka berlaku antara pukul 10:00 hingga 11:30 pagi waktu tempatan.

Amaran turut dikeluarkan di Guam dan dihantar ke telefon bimbit penduduk California.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik menyifatkan gelombang melebihi tiga meter di beberapa pesisir termasuk barat laut Kepulauan Hawaii dan Rusia sebagai “berbahaya”.

Setakat ini, sekurang-kurangnya enam gempa susulan dilaporkan, termasuk satu berukuran magnitud 6.9.

USGS memaklumkan pusat gempa tersebut terletak berhampiran lokasi gempa bumi dahsyat magnitud 9.0 pada tahun 1952 yang pernah menyebabkan tsunami besar di seluruh rantau Pasifik. -AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN