BANGKOK, 30 Julai - Fenomena pemilikan singa peliharaan semakin membimbangkan di Thailand apabila jumlah haiwan itu yang dipelihara meningkat mendadak, kini mencecah hampir 500 ekor di kafe haiwan, ladang pembiakan, zoo dan kediaman persendirian.
Di sebalik sebuah bengkel kereta biasa, seekor singa hibrid (singa-harimau) seberat 200 kilogram bernama Big George, dan seekor lagi singa dijaga sebagai haiwan peliharaan oleh seorang pempengaruh TikTok yang terkenal, Tharnuwarht Plengkemratch, dengan kandungan melibatkan haiwan liar.
“Saya mahu tunjukkan kepada orang ramai, terutamanya yang percaya bahawa singa adalah ganas dan tidak boleh berinteraksi dengan manusia bahawa sebenarnya haiwan liar ini boleh menjalin hubungan rapat dengan manusia,” kata Tharnuwarht.
Pakar memberi amaran bahawa trend ini mengancam keselamatan manusia dan haiwan,membebankan penguat kuasa dan berisiko menyumbang kepada perdagangan haram hidupan liar, baik di dalam negara mahupun antarabangsa.
“Haiwan liar tetap mempunyai naluri semula jadi mereka. Itu tidak akan berubah walaupun kelihatan jinak.
“Dalam keadaan tertentu, mereka boleh hilang kawalan dan menjadi berbahaya. Banyak bukti menunjukkan bahawa haiwan liar sepatutnya berada di habitat asal mereka. Ada banyak haiwan lain yang boleh kita pelihara,” kata Pengarah Perlindungan Hidupan Liar di Jabatan Taman Negara Thailand (DNP), Sadudee Punpugdee.
Peningkatan populariti singa peliharaan sebahagiannya dipengaruhi oleh media sosial, terutamanya TikTok, di mana pemilik memuat naik video mesra bersama haiwan eksotik.
Beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu telah mengharamkan pemilikan kucing besar seperti singa.
Sementara itu, peraturan pemilikan hidupan liar di Thailand kini sedang dipertimbangkan untuk semakan semula. - AFP