LISBON, 30 Julai - Hampir 2,700 anggota bomba dikerahkan untuk mengawal kebakaran hutan besar-besaran yang melanda beberapa kawasan di Portugal.
Sehingga kini hampir seluruh negara diletakkan dalam status amaran tahap tinggi kebakaran.
Sebanyak 17 kebakaran utama dilaporkan, dengan kawasan paling teruk terjejas berada di bahagian tengah dan utara negara itu.
Antara kebakaran paling serius berlaku di kawasan hutan kayu putih di Arouca, wilayah tengah Portugal, melibatkan 750 anggota bomba.
“Ketika ini, inilah kebakaran yang menjadi tumpuan utama kepada semua usaha dan sokongan kami,” kata Ketua Pihak Berkuasa Perlindungan Awam Kebangsaan, Mario Silvestre, dalam satu sidang media.
Ratusan lagi anggota bertugas memadam kebakaran berhampiran Penamacor, serta di kawasan pergunungan di Ponte da Barca, berhampiran sempadan utara dengan Sepanyol. Empat pesawat pemadam api dari Sepanyol turut menyertai usaha pemadaman sejak Isnin.
“Kita sedang berdepan saat yang sukar,” ujar Perdana Menteri Portugal, Luis Montenegro, ketika melawat ibu pejabat perkhidmatan kecemasan negara.
Pihak berkuasa memaklumkan sebanyak 26 pesawat pemadam api digunakan di udara bagi menyokong operasi darat. Setakat ini, seramai 20 orang cedera ringan, termasuk 14 anggota bomba.
Kebakaran di Ponte da Barca yang bermula pada Sabtu lalu memaksa pemindahan penduduk ke sebuah gereja tempatan dan telah memusnahkan hampir 2,000 hektar tanah, menurut anggaran awal.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa keadaan boleh menjadi lebih buruk dalam beberapa hari mendatang susulan cuaca panas melampau.
“Satu-satunya faktor yang boleh kita kawal dalam beberapa hari akan datang adalah tingkah laku manusia,” tambah Silvestre.
Seperti banyak negara lain, Portugal menghadapi kebakaran hutan hampir setiap musim panas. Pakar menyatakan bahawa perubahan iklim meningkatkan kekerapan dan keterukan kemarau serta kebakaran di seluruh dunia. - AFP