RIYADH, 14 Mei - Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan penamatan semua sekatan ke atas Syria atas permintaan Putera Mahkota Arab Saudi.
Ia pengumuman mengejut ketika Trump berucap dalam Forum Pelaburan Saudi-AS di Pusat Persidangan Antarabangsa King Abdul Aziz. Ini dijangka menyokong usaha Presiden Interim Syria, Ahmed al-Sharaa, memulihkan negara pascaperang.
Trump menyatakan pentadbirannya telah memulakan proses memulihkan hubungan dengan Syria selepas lebih sedekad terputus, dan memaklumkan Setiausaha Marco Rubio akan bertemu Menteri Luar Syria di Turkiye minggu ini.
Menurut dua sumber, Sharaa dijadual bertemu Trump di Riyadh pada Rabu, satu pertemuan simbolik antara bekas komander al-Qaeda dan Presiden AS.
Washington sebelum ini mengekalkan sekatan ketat sejak era Bashar al-Assad, namun kini bersedia membuka lembaran baharu demi pembinaan semula Syria.