RIYADH, 14 Mei - Pemimpin perniagaan terkemuka dari Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi berkumpul di sini pada Selasa bagi menghadiri Forum Pelaburan Arab Saudi-AS yang berprofil tinggi, bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi dan membuka ruang kerjasama baharu antara kedua-dua negara.
Forum itu diadakan sempena lawatan pertama Presiden AS Donald Trump ke Timur Tengah sejak kembali ke Rumah Putih untuk penggal kedua pada Januari lepas, sekali gus menandakan penekanan semula Washington terhadap kerjasama strategik dan ekonomi di rantau itu.
"Forum ini berlangsung pada detik bersejarah yang memperbaharui komitmen bersama untuk memperkukuh perkongsian strategik antara Arab Saudi dan AS demi manfaat kedua-dua negara dan seluruh dunia," kata Menteri Pelaburan Arab Saudi Khalid Al-Falih dalam ucapan pembukaan di Pusat Persidangan Antarabangsa Raja Abdulaziz.
Beliau berkata peluang perniagaan di Arab Saudi berkembang pesat hasil Wawasan Saudi 2030 yang telah mencetuskan banyak peluang dan pulangan pelaburan yang kukuh.
Al-Falih turut mengumumkan bahawa Arab Saudi akan melabur sebanyak US$600 bilion di AS dalam tempoh empat tahun akan datang.
Menteri Kewangan Arab Saudi Mohammed al-Jadaan pula menegaskan bahawa hubungan berpanjangan antara Arab Saudi dan AS yang telah terjalin lebih 92 tahun “semakin utuh dari tahun ke tahun.”
Acara itu menarik kehadiran tokoh perniagaan paling berpengaruh di AS termasuk usahawan teknologi dan penasihat Trump, Elon Musk, menurut laporan media AS.
Antara pemimpin korporat lain dari AS yang dilaporkan hadir termasuk Kelly Ortberg daripada Boeing, Kathy Warden daripada Northrop Grumman, James Quincey daripada Coca-Cola, William Oplinger daripada Alcoa, Reid Hoffman daripada LinkedIn dan Andy Jassy daripada Amazon.
Trump tiba di Riyadh awal pagi Selasa bagi memulakan lawatan empat hari ke Timur Tengah yang turut merangkumi Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Lawatan itu, yang mengimbau lawatan luar negara sulung beliau pada 2017 yang juga bermula di Arab Saudi, dilihat sebagai sebahagian strategi lebih meluas dalam mendalami hubungan diplomatik dan ekonomi di Teluk.
Presiden AS itu dijadual menyertai satu sidang kemuncak bersama pemimpin Teluk pada 14 Mei, sebelum meneruskan lawatan ke Doha, Qatar pada hari sama, dan ke Abu Dhabi, UAE pada 15 Mei.- BERNAMA