WASHINGTON, 19 Oktober- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pada Sabtu bahawa dua pengganas yang terselamat dalam serangan sebuah kapal selam yang disyaki membawa dadah, kini sedang dipulangkan ke Ecuador dan Colombia.
Trump menyifatkan ia sebagai satu penghormatan besar apabila berjaya memusnahkan kapal selam berkenaan, yang dikatakan menuju ke AS melalui laluan penyeludupan dadah yang terkenal.
Menurut beliau, risikan AS mengesahkan kapal itu membawa Fentanyl dan dadah haram lain.
Menurut pakar undang-undang, langkah memulangkan kedua-dua suspek ke negara asal, membolehkan tentera AS mengelak isu undang-undang kompleks berkaitan tahanan tentera bagi pengedar dadah, kerana kesalahan tersebut tidak termasuk di bawah undang-undang perang.
Pentadbiran Trump sebelum ini berkata serangan terdahulu membunuh 27 orang, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar undang-undang dan ahli Parlimen Demokrat yang mempertikaikan sama ada tindakan itu selaras dengan undang-undang perang.
Serangan berkenaan berlaku ketika AS meningkatkan kehadiran ketenteraan di Caribbean termasuk kapal perusuh berpandu, jet pejuang F-35, kapal selam nuklear dan kira-kira 6,500 anggota tentera, dalam usaha menegaskan pendirian terhadap kerajaan Venezuela.
Pada 15 Oktober, Trump mendedahkan beliau memberi kuasa kepada CIA untuk menjalankan operasi sulit di Venezuela, menambah spekulasi bahawa AS cuba menggulingkan Presiden Nicolas Maduro. -REUTERS