fb fb fb fb fb

Ribut tropika Fengshen landa Capiz, jalan dinaiki air

FOTO FB DOST-PAGASA

ROXAS, 19 Oktober - Penduduk di Roxas, wilayah Capiz, Filipina, dipindahkan menggunakan bot getah pada awal pagi Ahad selepas hujan lebat akibat ribut tropika Fengshen menyebabkan jalan di wilayah tengah negara itu dinaiki air, menurut rakaman yang disediakan oleh Pengawal Pantai Filipina.

Pihak berkuasa tempatan menggesa penduduk di kawasan mudah banjir dan pesisir pantai bersiap sedia untuk pemindahan, manakala nelayan serta bot kecil dinasihatkan supaya tidak ke laut berikutan keadaan laut yang bergelora.

Menurut Jabatan Kaji Cuaca Filipina, ribut tropika Fengshen yang turut dikenali sebagai Ramil, melanda wilayah Sorsogon pada awal pagi Sabtu dengan kelajuan angin maksimum sehingga 65 kilometer sejam.

Ribut itu kini bergerak ke arah barat laut merentasi pulau utama Luzon dan dijangka membawa hujan lebat di seluruh kawasan berkenaan pada hujung minggu ini.

Fengshen dilaporkan sedikit melemah ketika melintasi wilayah Samar, namun berpotensi kembali menguat selepas meninggalkan kawasan daratan pada Ahad.

Ribut itu dijangka keluar dari Kawasan Tanggungjawab Filipina (PAR) menjelang awal pagi Isnin. –REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM