fb fb fb fb fb

Mesir gesa rundingan fasa kedua gencatan senjata Gaza dimulakan segera

FOTO AFP

KAHERAH, 19 Oktober - Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, pada Sabtu menyeru supaya rundingan fasa kedua gencatan senjata di Gaza dimulakan serta memastikan bantuan kemanusiaan yang mencukupi dapat disalurkan ke wilayah berkenaan.

Beliau menyatakan bahawa para pengantara telah berjaya menyelesaikan konflik Israel-Hamas, dan kini tiba masanya untuk “melangkah ke hadapan”.

"Semua pihak akan memulakan rundingan bagi fasa kedua perjanjian gencatan senjata di Gaza, sambil menegaskan keperluan mendesak untuk memastikan bantuan kemanusiaan dapat sampai ke Gaza tanpa sebarang halangan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini selepas bertemu Menteri Luar Maldives, Abdulla Khaleel.

Di bawah perjanjian gencatan senjata Israel–Hamas yang berkuat kuasa pada 10 Oktober, fasa pertama melibatkan pengunduran tentera Israel dari Gaza, Rafah, Khan Yunis dan kawasan utara, pertukaran tebusan serta tahanan, dan pembukaan lima lintasan sempadan bagi kemasukan bantuan.

Menurut perjanjian itu, Israel dijangka membuka semula lintasan Rafah pada Rabu.

Namun, pihak berkuasa Israel menangguhkan pembukaan tersebut pada Selasa dengan alasan Hamas gagal menyerahkan semua mayat tahanan mengikut tarikh akhir yang dipersetujui.

Kedutaan Palestin pada Sabtu memaklumkan bahawa lintasan Rafah akan dibuka semula pada Isnin bagi membolehkan rakyat Palestin di Mesir yang ingin pulang ke Gaza melintas.

Namun, Pejabat Perdana Menteri Israel kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa lintasan tersebut akan kekal ditutup sehingga diberitahu kelak, dan pembukaannya hanya akan dipertimbangkan berdasarkan sejauh mana Hamas menunaikan komitmen berhubung pemulangan mayat tebusan serta pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, serangan berterusan Israel sejak 7 Oktober 2023 telah meragut 68,116 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan 170,200 yang lain.

Walaupun gencatan senjata telah dimeterai, 27 penduduk Gaza terbunuh dan 143 lagi cedera sejak 11 Oktober, menurut kemas kini terbaharu pada Sabtu. -REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM