MANILA, 19 Oktober - Filipina membatalkan beberapa penerbangan domestik berikutan cuaca buruk akibat Ribut Tropika Ramil.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) memaklumkan pembatalan itu melibatkan penerbangan yang dikendalikan oleh beberapa syarikat penerbangan utama seperti Philippine Airlines, Cebu Pacific Air dan CebGo.
Penumpang yang terjejas dinasihatkan untuk menyemak terus dengan syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan status penerbangan, pilihan untuk menempah semula atau prosedur bayaran balik.
"Situasi semasa cuaca akan dipantau rapi dan kami sedang bekerjasama secara aktif dengan pengendali penerbangan serta pihak berkuasa lapangan terbang bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penumpang," kata CAAP menerusi kenyataan.
Terdahulu, beberapa kawasan di wilayah Capiz terjejas akibat ribut Fengshen.
Penduduk turut dipindahkan ke kawasan selamat dan notis pemindahan dikeluarkan.