GAZA CITY, 19 Oktober - Israel melancarkan dua serangan udara ke atas selatan Gaza dekat Rafah, hari ini selepas mendakwa kononnya Hamas melanggar syarat gencatan senjata dan menyerang tenteranya.
Tentera rejim Zionis menuduh kumpulan pejuang Palestin itu menggunakan penembak tepat dan pelancar roket di timur Garisan Kuning iaitu kawasan bawah kawalan Israel.
Sementara itu, sayap bersenjata Hamas menegaskan bahawa kumpulan itu mematuhi perjanjian gencatan senjata dengan Israel.
"Kami mengesahkan komitmen penuh kami untuk melaksanakan semua yang dipersetujui, yang paling utama adalah gencatan senjata di seluruh Gaza," menurut Briged Ezzedine Al-Qassam dalam satu kenyataan.
"Kami tidak mengetahui sebarang insiden atau pertempuran yang berlaku di kawasan Rafah, kerana ini adalah zon merah bawah kawalan tentera penceroboh. Malah, hubungan dengan unit pejuang yang tinggal di kawasan terbabit telah terputus sejak Israel mengempur semula Gaza pada Mac lalu, " tambah kenyataan itu lagi. - AFP