TEHRAN, 19 Oktober - Iran melaksanakan hukuman mati ke atas seorang lelaki yang disabitkan kesalahan mengintip untuk agensi perisikan Israel.
Badan kehakiman mengesahkan pelaksanaan hukuman terbaharu itu dalam siri hukuman mati berikutan perang 12 hari pada Jun lepas antara Iran dengan Israel.
"Pelaksanaan hukuman ke atas pengintip itu telah dilakukan selepas mendapat pengesahan Mahkamah Agung dan permohonan pengampunannya ditolak di Penjara Qom," Kazem Mousavi, ketua hakim wilayah Qom, dipetik sebagai berkata oleh laman web badan kehakiman Mizan Online.
Identiti lelaki itu yang digantung pada Sabtu di bandar Qom, selatan Tehran tidak didedahkan.
Menurut pihak berkuasa Iran, suspek mula menghubungi perisikan Israel pada Oktober 2023 dan telah ditangkap antara Januari dan Februari 2024.
Penyiasat mendedahkan, dia mengaku bekerjasama dengan Mossad dan menghantar maklumat sulit dalam talian.
Awal bulan ini, enam lelaki telah dihukum mati di wilayah Khuzestan kerana didakwa melakukan keganasan, kurang seminggu selepas seorang lelaki yang dianggap sebagai salah seorang pengintip utama Israel, dihukum gantung.
Seorang lagi, dinamakan sebagai Roozbeh Vadi, turut dihukum mati kerana didakwa memberikan maklumat tentang seorang saintis nuklear yang terbunuh semasa konflik.
Sementara itu, Pengawal Revolusi Iran mengesahkan sekurang-kurangnya empat ketua puak terbunuh di wilayah Sistan-Baluchistan di tenggara Iran.
Identiti mereka tidak dapat dipastikan, tetapi pihak berkuasa di Iran kerap menuduh kumpulan pelampau yang beroperasi di Sistan-Baluchistan mempunyai hubungan dengan Israel. -AFP