RAFAH, 19 Oktober - Deretan lori bantuan dilihat beratur di lintasan Rafah pada Ahad sebagai persiapan untuk memasuki Gaza, selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengumumkan bahawa lintasan itu akan kekal ditutup sehingga diberitahu kelak.
Rakaman langsung oleh stesen televisyen Mesir, Al Qahera, menunjukkan barisan panjang lori sedang menunggu, dengan sebahagiannya mula bergerak ke hadapan.
Menurut laporan Al Qahera, kenderaan tersebut sedang bergerak dari Mesir menuju ke wilayah Palestin berkenaan.
Netanyahu pada Sabtu berkata, pembukaan semula lintasan itu bergantung kepada sama ada Hamas menyerahkan mayat tebusan yang telah meninggal dunia.
Kenyataan itu dibuat tidak lama selepas Kedutaan Palestin di Mesir memaklumkan bahawa lintasan Rafah; pintu utama keluar masuk penduduk Gaza akan dibuka semula pada Isnin bagi kemasukan ke wilayah tersebut.
Hamas menyifatkan keputusan Netanyahu itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata dan penafian terhadap komitmen yang dibuat kepada pihak pengantara serta penjamin.
“Penutupan berterusan lintasan Rafah akan menghalang kemasukan peralatan penting untuk mencari dan mengenal pasti mayat tebusan yang masih tertimbus, sekali gus melambatkan proses pemulihan dan penyerahan semula mayat tersebut,” menurut kenyataan itu.