WASHINGTON, 28 Jun –Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi amaran kemungkinan menyerang semula tapak nuklear Iran, susulan tindakan Tehran yang terus mempertingkatkan pengayaan uranium ke tahap membimbangkan dan kenyataan keras oleh Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei.
Dalam sidang media di White House, Trump berkata beliau tidak menolak kemungkinan meluluskan serangan tambahan, sekiranya situasi mengancam keselamatan serantau.
“Sudah tentu, tanpa ragu-ragu,” jawabnya ketika ditanya tentang kemungkinan serangan baharu.
Trump sebelum itu mendedahkan bahawa beliau telah menghalang Israel daripada membunuh Khamenei, meskipun mengetahui lokasi sebenar pemimpin tertinggi Iran itu ketika ketegangan memuncak.
“Negaranya hancur, tiga tapak nuklearnya dimusnahkan, saya tahu di mana dia bersembunyi tetapi saya tidak benarkan Israel atau tentera kita mengakhiri riwayatnya,” katanya menerusi media sosial.
“Saya SELAMATKAN dia daripada kematian yang amat memalukan,” tambahnya.
Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi balas terhadap ucapan Khamenei yang mendakwa Iran telah "memalukan Amerika Syarikat" dengan melancarkan serangan balas ke atas pangkalan tentera AS di Qatar, susulan pengeboman terhadap fasiliti nuklear Iran minggu lalu.
Akibat ucapan keras Khamenei itu, Trump membatalkan rancangan untuk melonggarkan sekatan ekonomi terhadap Iran, yang sebelum ini dirancang bagi membantu proses pemulihan negara itu.
“Saya disambut dengan kenyataan penuh kebencian dan kemarahan, lalu serta-merta saya hentikan semua usaha berkaitan kelonggaran sekatan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, dalam satu kenyataan di platform X, menegaskan bahawa sebarang perbincangan atau rundingan hanya boleh berlaku jika AS mengubah nada terhadap pemimpin mereka.
“Jika Trump benar-benar ikhlas mahu mencari jalan damai, dia perlu menghentikan nada tidak sopan terhadap Khamenei dan berhenti menyakiti jutaan pengikut beliau,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump menggesa agar pemeriksa daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) atau agensi bebas lain dibenarkan menilai tahap kerosakan tapak nuklear Iran yang dibom.
Namun begitu, Ketua IAEA, Rafael Grossi, memaklumkan tiada pemeriksaan dijalankan sejak serangan udara Israel bermula 13 Jun lalu.
Lebih memburukkan keadaan, parlimen Iran telah meluluskan undang-undang baharu yang menggantung kerjasama dengan IAEA, sekali gus menyukarkan pemantauan antarabangsa terhadap program nuklear negara itu.
Trump turut mendakwa Iran masih berminat untuk mengadakan rundingan, namun tiada pertemuan rasmi dijadualkan setakat ini.– REUTERS