fb fb fb fb fb

Iran tolak permintaan IAEA lawat tapak nuklear

Foto Arkib

TEHRAN, 28 Jun - Iran menolak permintaan Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, untuk melawat kemudahan nuklear yang dibom oleh Israel dan Amerika Syarikat, dengan menyifatkan permintaan itu sebagai berniat jahat.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dalam satu kenyataan di platform X berkata, Iran berhak mengambil apa jua langkah demi mempertahankan kepentingan, rakyat dan kedaulatannya.

“Desakan Grossi untuk melawat tapak yang dibom atas alasan pematuhan kawal selia adalah tidak masuk akal dan bermotifkan niat jahat,” katanya.

Araghchi sekali lagi mengkritik Grossi kerana gagal mengecam serangan Israel dan AS terhadap kemudahan nuklear Iran, serta menyifatkannya sebagai satu pengkhianatan terhadap tanggungjawabnya.

Beliau turut menuduh Ketua IAEA itu secara langsung memudahkan serangan tidak Israel dan AS melalui laporan 31 Mei lalu yang menyatakan tahap kerjasama Tehran dengan IAEA sebagai kurang memuaskan.

Laporan itu kemudian mendorong kepada usul kecaman oleh lembaga pengarah IAEA, yang menurut Iran telah membuka jalan kepada perang 12 hari yang dilancarkan Israel 13 Jun lalu.

Kenyataan Araghchi hadir susulan tindakan Parlimen Iran yang meluluskan rang undang-undang untuk menggantung kerjasama dengan agensi pengawasan nuklear PBB tersebut.

Terdahulu, Grossi menyeru agar para pemeriksa IAEA diberi akses ke fasiliti nuklear Iran bagi menilai keadaan terkini, khususnya berkenaan stok uranium yang diperkaya negara itu.

Kebimbangan meningkat dalam kalangan negara Barat dan Israel terhadap kemungkinan Iran berjaya memindahkan stok uranium tersebut sebelum serangan oleh Israel dan Amerika Syarikat dilancarkan. – AFP

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN