fb fb fb fb fb

Gempa bumi 6.1 magnitud landa selatan Filipina

Foto hiasan

MANILA, 28 Jun – Satu gempa bumi kuat berukuran magnitud 6.1 melanda pesisir selatan Filipina pada Sabtu, menurut Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Setakat ini, tiada laporan kematian atau kerosakan diterima susulan gegaran itu yang berlaku pada kedalaman 101 kilometer, kira-kira 70 kilometer dari wilayah Davao, kawasan terdekat dengan pusat gempa.

Pusat Amaran Tsunami tidak mengeluarkan sebarang amaran tsunami berkaitan kejadian tersebut.

Seorang anggota penyelamat wilayah dari pulau kecil Sarangani, Marlawin Fuentes, memaklumkan bahawa gegaran dirasai selama kira-kira lima saat di pejabatnya.

“Gegaran tidak terlalu kuat, tetapi meja dan komputer di pejabat turut bergegar,” katanya kepada AFP.

Filipina terletak di atas Lingkaran Gunung Berapi Pasifik, satu zon gempa bumi aktif yang merangkumi Jepun, Asia Tenggara hingga ke Amerika Selatan dan terkenal dengan kejadian gempa hampir setiap hari.

Kebanyakan gegaran di negara itu terlalu lemah untuk dirasai, namun gempa kuat dan merosakkan boleh berlaku secara rawak dan sehingga kini, tiada teknologi mampu meramalkan dengan tepat masa dan lokasi ia akan berlaku.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD