fb fb fb fb fb

PBB dakwa operasi bantuan AS di Gaza ancam nyawa rakyat Palestin

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres / Foto REUTERS

GENEVA, 28 Jun-Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menegaskan bahawa operasi bantuan yang dikendalikan Amerika Syarikat (AS) di Gaza adalah “berbahaya secara asas” dan menyebabkan kematian penduduk Palestin.

Beliau menyifatkan operasi melalui Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Washington sebagai satu bentuk bantuan yang memaksa orang awam ke zon ketenteraan sekali gus mengancam nyawa dan keselamatan mereka.

“Apa-apa operasi yang menyalurkan orang awam ke kawasan ketenteraan secara paksa adalah tidak selamat. Ia sedang membunuh manusia,” tegas beliau kepada media.

Jelas Guterres, PBB enggan bekerjasama dengan GHF kerana meragui ketelusan dan sifat berkecuali operasi itu, selain menuduh pendekatan bantuan tersebut mempersenjatai misi kemanusiaan serta menyumbang kepada perpindahan penduduk.

Menurut Guterres, usaha bantuan PBB kini “disekat” sepenuhnya, malah petugas bantuan sendiri mengalami kelaparan.

Beliau turut menegaskan tanggungjawab Israel sebagai kuasa penceroboh untuk membenarkan dan mempermudah penghantaran bantuan ke seluruh Gaza.

“Orang awam dibunuh hanya kerana berusaha mendapatkan makanan.

"Mencari makanan tidak sepatutnya menjadi hukuman mati,” kata beliau sambil menggesa keberanian politik untuk menamatkan konflik menerusi gencatan senjata.

Selepas Israel menarik balik sekatan bantuan selama 11 minggu pada 19 Mei lalu, lebih 400 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan majoritinya di kawasan yang dikendalikan GHF.

Seorang pegawai kanan PBB mendedahkan pada Ahad bahawa kebanyakan mangsa terkorban ketika menuju ke lokasi bantuan GHF yang menggunakan firma keselamatan dan logistik swasta dari AS.

Sementara itu, Kementerian Luar Israel menuduh PBB berpihak kepada Hamas dan cuba mensabotaj operasi GHF.

Dakwaan itu turut disokong oleh jurucakap GHF yang menafikan sebarang kematian berlaku berhampiran lokasi pengagihan mereka.

“Adalah mengecewakan PBB terus menyebarkan maklumat tidak benar mengenai operasi kami,” dakwa jurucakap GHF.

“Daripada menuding jari, kami mengalu-alukan kerjasama.”

AS pula menyuntik dana sebanyak AS$30 juta kepada GHF dan menggesa negara lain turut menyokong kumpulan itu, meskipun wujud kecaman antarabangsa terhadap pendekatan yang dilihat lebih berpaksikan kepentingan politik Washington.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD