fb fb fb fb fb

Bekas Presiden Korea Selatan hadir ke pejabat pendakwa raya

Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol hadir memasuki bangunan pendakwa raya / Foto REUTERS

SEOUL, 28 Jun – Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, hadir ke pejabat pendakwa raya pada Sabtu selepas diberi amaran akan ditangkap sekiranya terus ingkar arahan untuk hadir memberi keterangan berhubung dakwaan cubaan mengisytiharkan undang-undang tentera pada Disember lalu.

Peguam Suk Yeol menegaskan kehadiran bekas Presiden itu bukan tanda mengalah, sebaliknya bagi menjelaskan kebenaran terhadap apa yang mereka dakwa sebagai siasatan bermotif politik serta penuh penyelewengan fakta.

“Siasatan ini adalah usaha untuk memalukan beliau (Suk Yeol) secara terbuka di hadapan media,” kata pasukan guaman Yoon yang membidas tindakan pendakwa raya kerana cuba mencabuli hak asasi anak guam mereka.

Suk Yeol, yang dipecat oleh Mahkamah Perlembagaan pada April lalu selepas keputusan parlimen untuk mendakwa beliau, enggan menjawab sebarang soalan media ketika memasuki bangunan.

Cubaan Suk Yeol untuk menguatkuasakan undang-undang tentera pada Disember mengejutkan rakyat Korea Selatan.

Pendakwa raya sebelum ini memohon waran tangkap terhadap Suk Yeol kerana gagal hadir untuk memberi keterangan.

Namun, permohonan itu ditolak mahkamah minggu ini selepas beliau menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD