fb fb fb fb fb

19 maut, 15 hilang ketika protes anti cukai di Kenya

Penunjuk perasaan cuba berlindung dalam keadaan asap gas pemedih mata dilepaskan ketika protes di pusat bandar Nairobi pada 25 Jun lalu/Foto AFP

NAIROBI, 27 Jun - Sekurang-kurangnya 19 orang maut manakala 15 lagi dilaporkan masih hilang susulan protes memperingati ulang tahun tindakan keras terhadap demonstrasi anti-cukai di Kenya.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Kenya (KNCHR) berkata, demonstrasi yang berlangsung pada Rabu lalu menyaksikan ribuan rakyat turun ke jalanan di seluruh negara sebelum keadaan bertukar menjadi tidak terkawal.

Ini susulan golongan belia bertempur dengan polis serta merosakkan ribuan premis perniagaan.

KNCHR mengutuk sekeras-kerasnya pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku dan menggesa semua pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Setakat ini, KNCHR merekodkan 19 kematian.

Manakala seramai 531 orang cedera, manakala 179 ditahan sepanjang protes berlangsung.

Sementara itu, Human Rights Watch menggesa pihak berkuasa Kenya agar tidak melayan penunjuk perasaan sebagai penjenayah, sebaliknya bertanggungjawab terhadap pelanggaran yang berlaku.

“Pihak berkuasa Kenya tidak seharusnya menganggap penunjuk perasaan sebagai penjenayah,” kata Otsieno Namwaya, Pengarah Bersama Wilayah Afrika organisasi itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyuarakan kebimbangan dan menyeru semua pihak agar bertenang dan mengelak provokasi lanjut.

Dalam perkembangan berasingan, kerajaan Kenya mengecam keras insiden rompakan dan vandalisme terhadap depot baja negara ketika protes tersebut.

Kementerian Pertanian melaporkan bahawa lebih 7,354 beg baja bernilai sekitar AS$230,000 telah dirompak di daerah Meru, kira-kira 200 kilometer dari ibu kota Nairobi.

GRACE AISYAH KEDAYAN