fb fb fb fb fb

Serangan dron Rusia di Odesa: 2 maut, 14 cedera

Foto fail

KIEV, 28 Jun - Dua orang terbunuh manakala 14 lagi cedera, termasuk kanak-kanak, dalam satu serangan dron Rusia di wilayah selatan Ukraine, Odesa, menurut pihak berkuasa tempatan pada Sabtu.

Rusia dilaporkan semakin rancak melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Ukraine, dengan rundingan damai yang dimulakan Amerika Syarikat bagi menamatkan konflik tiga tahun itu kini dilaporkan menemui jalan buntu.

"Pasukan penyelamat mengeluarkan mayat dua mangsa dari runtuhan bangunan kediaman yang musnah akibat serangan dron musuh," kata Gabenor Odesa, Oleg Kiper, menerusi Telegram.

Dalam kejadian berasingan di wilayah Kherson, selatan Ukraine, seorang lagi maut dan tiga orang cedera akibat serangan Rusia dalam tempoh 24 jam lalu.

"Pasukan tentera Rusia menyasarkan infrastruktur kritikal dan sosial serta kawasan perumahan di wilayah ini," kata Gabenor Kherson, Oleksandr Prokudin, juga menerusi Telegram pada awal pagi Sabtu.

Sejak serangan dilancarkan Rusia, puluhan ribu nyawa telah terkorban, jutaan lagi kehilangan tempat tinggal, dan sebahagian besar wilayah timur Ukraine musnah teruk.

Dalam rundingan damai yang sedang berlangsung, Rusia dilaporkan menuntut Ukraine menyerahkan lebih banyak wilayah serta menghentikan sokongan ketenteraan daripada negara-negara Barat, syarat yang dianggap tidak boleh diterima Kiev. - AFP

TETITIA YUSOFF