BANGKOK, 28 Jun - Ribuan penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di Bangkok pada Sabtu, menuntut Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra meletakkan jawatan, susulan kebocoran satu panggilan diplomatik yang mencetuskan kemarahan orang ramai terhadap kepimpinannya.
Mereka membanjiri jalan-jalan sekitar Tugu Peringatan Kemenangan (Victory Monument) sambil mengibarkan bendera Thailand dan bersorak mendengar ucapan para pemimpin protes, diselang-selikan dengan persembahan muzik secara langsung.
Majoriti peserta adalah golongan warga emas yang diketuai aktivis veteran daripada gerakan "Baju Kuning", kumpulan yang pernah terlibat dalam penggulingan bapa Paetongtarn, Thaksin Shinawatra, pada era 2000-an.
Ia termasuk bekas sekutu Thaksin yang kini menjadi pengkritik tegar beliau.
"Saya datang untuk pertahankan kedaulatan Thailand dan nyatakan bahawa perdana menteri tidak layak,” kata Seri Sawangmue, 70 tahun, yang menaiki bas semalaman dari utara Thailand untuk menyertai protes.
"Selepas dengar panggilan yang bocor itu, saya tahu saya tak boleh percayakan dia,” ujarnya kepada AFP. “Saya sudah lalui banyak krisis politik dan tahu ke mana arah ini. Dia sanggup gadaikan kedaulatan negara.”
Seorang tokoh kanan dari Kemboja dilaporkan membocorkan panggilan telefon itu, yang bertujuan meredakan ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja.
Paetongtarn kini berdepan tekanan hebat selepas panggilan telefonnya dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen, terbocor awal bulan ini.
Kebocoran itu mencetuskan krisis politik apabila sebuah parti utama menarik diri daripada gabungan kerajaan pimpinan Paetongtarn.
Parti tersebut menuduh beliau tunduk kepada tekanan Kemboja dan melemahkan angkatan tentera Thailand, sekali gus menjadikan kedudukannya rapuh dengan majoriti tipis di Parlimen.
Pihak berkuasa memaklumkan lebih 1,000 anggota polis dan 100 pegawai bandaraya telah dikerah bagi mengawal protes yang setakat tengah hari Sabtu berlangsung dalam keadaan aman.
Paetongtarn yang ketika itu melawat kawasan banjir di utara Thailand berkata kepada wartawan sebelum berlepas dari Bangkok: “Itu hak mereka untuk berhimpun, asalkan secara aman.” - AFP