fb fb fb fb fb

Trump tolak cabaran Harris untuk berdebat semula di CNN

Donald Trump menolak cabaran untuk berdebat sekali lagi dengan Naib Presiden, Kamala Harris sebelum Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat / Foto Reuters

WASHINGTON, 22 September - Donald Trump pada Sabtu menolak cabaran untuk berdebat sekali lagi dengan Naib Presiden, Kamala Harris sebelum Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, hanya beberapa jam selepas kempen calon Demokratik itu mengesahkan beliau bersetuju untuk berdebat pada 23 Oktober bersama pesaing Republikan di CNN.

"Naib Presiden Harris bersedia sekali lagi berkongsi pentas dengan Donald Trump, dan beliau telah menerima jemputan CNN untuk berdebat pada 23 Oktober. Trump tidak seharusnya mempunyai masalah untuk bersetuju," kata Jen O'Malley Dillon, pengerusi kempen Harris.

Trump berpegang kepada pendiriannya bahawa tidak akan ada lagi debat sebelum pilihan raya pada 5 November. "Masalahnya dengan debat lain ialah ia sudah terlambat. Pengundian telah pun bermula," kata Trump kepada penyokongnya di Wilmington, North Carolina.

Harris dan Trump berdebat buat kali pertama pada 10 September, di mana tinjauan menunjukkan Harris sebagai pemenang.

Trump juga pernah berdebat dengan Presiden Joe Biden pada Jun, di mana prestasi Biden yang goyah mencetuskan kebimbangan di kalangan Demokrat, yang mendorong parti itu mempertimbangkan langkah untuk menggantikan Biden sebagai calon mereka.

Biden menarik diri daripada bertanding pada bulan Julai.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN