fb fb fb fb fb

Libya gagalkan cubaan seludup 100kg emas, wang tunai euro 1.5 juta

Agensi Keselamatan Dalaman Libya berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 100kg emas dan €1.5 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Misrata / Foto Reuters

TRIPOLI, 22 September – Agensi Keselamatan Dalaman Libya berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 100kg emas dan wang tunai euro 1.5 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Misrata pada Sabtu, ketika pemeriksaan keselamatan bagi satu penerbangan antarabangsa.

Menurut kenyataan agensi tersebut di laman Facebook rasminya, jongkong emas itu ditemui dalam tiga bagasi, manakala wang tunai dijumpai dalam satu bagasi.

Bagasi-bagasi berkenaan dikesan semasa proses pemeriksaan keselamatan untuk penerbangan ke Turkiye.

Beberapa gambar yang disiarkan oleh agensi tersebut menunjukkan bagasi yang dirampas, mengandungi jongkong emas serta ikatan wang kertas euro.

Misrata, sebuah bandar pelabuhan yang terletak kira-kira 200km di timur ibu kota Tripoli, menjadi lokasi kejadian tersebut.

Agensi itu turut memaklumkan bahawa individu-individu yang bertanggungjawab terhadap bagasi tersebut telah ditahan.

Pada bulan Mei, pejabat Peguam Negara Tripoli mengarahkan penahanan Ketua Pengarah Kastam dan beberapa pegawai di Lapangan Terbang Antarabangsa Misrata atas tuduhan berkomplot menyeludup hampir 26,000kg emas.

Libya terus menghadapi ketidakstabilan sejak kebangkitan yang disokong NATO pada tahun 2011 dan perpecahan pada 2014 antara puak timur dan barat.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN