fb fb fb fb fb

Trump terima hadiah pesawat mewah dari Qatar

Donald Trump bersedia menerima hadiah sebuah pesawat mewah Boeing 747-8 daripada keluarga diraja Qatar/Foto REUTERS

WASHINGTON, 14 Mei – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bersedia menerima hadiah sebuah pesawat mewah Boeing 747-8 daripada keluarga diraja Qatar untuk dijadikan sebagai pesawat rasmi sementara, Air Force One.

Trump berkata pesawat bernilai AS$400 juta (RM1.9 bilion) itu merupakan sumbangan daripada sebuah negara yang menurutnya telah lama dilindungi oleh AS.

“Ia adalah hadiah daripada Qatar, sebuah negara yang telah kita lindungi selama bertahun-tahun,” katanya menerusi kenyataan di platform media sosialnya, Truth Social.

Trump tetap mempertahankan keputusannya, sambil menyifatkan penolakan hadiah itu sebagai tindakan tidak bijak.

“Mengapa tentera dan pembayar cukai kita perlu belanja ratusan juta dolar jika boleh dapat secara percuma daripada negara yang mahu menghargai usaha kita?

"Hanya orang bodoh tidak akan menerimanya bagi pihak negara,” katanya lagi.

Bagaimanapun, beberapa ahli Kongres Republikan membangkitkan kebimbangan terhadap keputusan Trump termasuk kemungkinan ia menimbulkan risiko keselamatan kepada negara. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN