WASHINGTON, 14 Mei - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, menyatakan kesediaannya untuk berunding terus dengan Presiden China, Xi Jinping bagi memuktamadkan perjanjian perdagangan antara kedua-dua negara.
"Ya, saya boleh bayangkan (bertemu Xi). Tapi saya tidak pasti sama ada ia perlu. Ia ada disebut, tapi belum dibincang secara terperinci.
"Ia berkaitan pembukaan pasaran China kepada perniagaan AS, yang saya anggap seperti membuka satu dunia baharu. Saya percaya ia akan lebih menguntungkan China. Jadi saya harap kita dapat capai perjanjian itu," katanya ketika ditemu bual oleh Sean Hannity di atas pesawat Air Force One semasa dalam perjalanan ke Arab Saudi, baru-baru ini.
Dalam temu bual sama, Trump turut mengulas tawaran Qatar untuk menghadiahkan pesawat Boeing 747-8 bernilai AS$400 juta (RM1.9 bilion).
Difahamkan pesawat Boeing 747-8 yang ditawarkan oleh Qatar dicadang sebagai pesawat rasmi 'Air Force One' baharu Amerika Syarikat.
"Saya tidak dapat apa-apa pun. Saya cuma dapat guna pesawat itu seperti mana-mana presiden lain," jelas Trump.
Bagaimanapun, beberapa ahli Kongres dari Parti Republikan menyatakan kebimbangan terhadap hasrat Trump untuk menerima pesawat berkenaan, atas faktor ketelusan dan potensi konflik kepentingan. - REUTERS