MONTEVIDEO, 14 Mei- Bekas Presiden Uruguay, Jose “Pepe” Mujica, tokoh ikonik haluan kiri Amerika Latin dan bekas pejuang gerila, dilaporkan meninggal dunia pada usia 89 tahun, menurut pengumuman rasmi kerajaan Uruguay pada Selasa.
Berita duka itu disampaikan oleh Presiden Uruguay kini, Yamandu Orsi, menerusi satu hantaran di platform media sosial X.
"Dengan rasa dukacita yang mendalam, kami mengumumkan pemergian sahabat kami, Pepe Mujica. Seorang presiden, aktivis, pemimpin dan sumber inspirasi. Kami akan merindui anda, sahabat lama," katanya.
Mujica pernah digelar presiden termiskin di dunia kerana menyumbangkan sebahagian besar gajinya kepada badan amal sewaktu memegang jawatan presiden antara tahun 2010 hingga 2015.
Pada Mei 2024, beliau disahkan menghidap kanser esofagus yang kemudiannya merebak ke hati. Menurut isterinya, Lucia Topolansky, Mujica menerima rawatan paliatif dalam minggu-minggu terakhirnya.
Beliau dikenang sebagai arkitek utama kepada dasar-dasar progresif di Uruguay, termasuk penggubalan undang-undang pengguguran kandungan, perkahwinan sejenis, serta penggunaan ganja untuk rekreasi secara sah.
Dalam satu temu bual bersama AFP pada November 2024, Mujica menyifatkan kemenangan presidennya Orsi, seorang guru sejarah dan juga pewaris politiknya sebagai hadiah penghujung karier buatnya.
Pada era 1960-an, Mujica merupakan pengasas gerakan gerila bandar berfahaman Marxist-Leninist, Tupamaros, yang bermula dengan merompak orang kaya untuk membantu yang miskin, sebelum berkembang kepada tindakan ekstrem seperti penculikan, pengeboman dan pembunuhan.
Beliau pernah mengalami beberapa kali insiden tembakan, meloloskan diri dari penjara dan terlibat dalam pelbagai misi berbahaya.
Namun, selepas gerakan Tupamaros tumbang pada tahun 1972, Mujica ditahan semula dan meringkuk dalam penjara sepanjang pemerintahan diktator Uruguay dari 1973 hingga 1985, termasuk melalui tempoh tahanan bersendirian yang menyeksakan.
Selepas dibebaskan, Mujica menceburi politik secara aktif dan pada tahun 1989 menubuhkan parti Movement of Popular Participation (MPP), yang kini menjadi parti terbesar dalam gabungan kiri Broad Front.
Beliau dipilih sebagai ahli parlimen pada 1995, menjadi senator pada 2000 dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Pertanian dalam kerajaan kiri pertama Uruguay.
Mujica hanya berkhidmat satu penggal sebagai presiden, selaras dengan undang-undang had penggal negara itu.
Beliau tidak mempunyai anak dan meninggalkan isterinya, Lucia Topolansky, yang juga bekas pejuang gerila dan figura politik ternama Uruguay.-AFP