fb fb fb fb fb

Gencatan senjata India-Pakistan: 'Jangan berdagang peluru berpandu nuklear'

Presiden Trump berucap di Forum Pelaburan Arab Saudi-Amerika Syarikat di Pusat Persidangan Antarabangsa King Abdulaziz/Foto REUTERS

RIYADH, 14 Mei - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendakwa pentadbirannya berjaya menjadi perantara kepada gencatan senjata antara India dan Pakistan.

Trump berkata dengan pendekatan perdagangan dapat menamatkan ketegangan yang semakin memuncak di kedua-dua negara itu.

"Tuan-tuan, mari kita capai satu perjanjian. Mari berdagang. Jangan berdagang peluru berpandu nuklear. Berdaganglah hasil buatan kalian yang sangat indah. Kedua-duanya memiliki pemimpin yang berkuasa, kuat, baik dan bijak. Dan akhirnya, ketegangan itu berjaya dihentikan. Mudah-mudahan ia kekal begitu,” katanya ketika berucap di Forum Pelaburan Arab Saudi-Amerika Syarikat di Pusat Persidangan Antarabangsa King Abdulaziz.

Ucapannya itu disambut dengan tepukan oleh para hadirin termasuk Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Bin Salman.

Trump turut memuji Senator Marco Rubio dan JD Vance serta pasukan mereka yang terlibat dalam proses diplomatik berkenaan.

“Saya sangat bangga dengan Marco Rubio dan semua yang bekerja keras dalam hal ini. Mereka buat kerja yang hebat. Saya fikir sekarang mereka (India dan Pakistan) semakin serasi,” katanya secara berseloroh sambil mencadangkan kedua-dua pemimpin itu ‘keluar makan malam bersama’.

Trump turut memberi amaran bahawa ketegangan itu berisiko meragut berjuta-juta nyawa sekiranya tidak dibendung. - VIORY

GRACE AISYAH KEDAYAN