fb fb fb fb fb

Trump sedia runding dengan Maduro, basmi dadah di Mexico

Tentera AS melancarkan serangan ke atas bot penyeludupan dadah di Laut Carribean, bulan lepas / Foto AFP

WASHINGTON, 18 November - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan berunding dengan rakan sejawatannya dari Venezuela, Nicolas Maduro susulan ketegangan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara.

Ia ekoran tindakan Trump meningkatkan jumlah kehadiran anggota tentera AS di rantau Carribbean untuk menangani penyeludupan dadah yang berpangkalan di beberapa buah negara Amerika Latin, termasuk Venezuela dan Mexico.

" Pada jangka masa tertentu, saya akan bercakap dengannya (Maduro), " kata Trump dalam sidang media di Oval Office ketika ditanya sama ada beliau akan berunding dengan Maduro, sambil menambah bahawa Presiden Venezuela itu tidak melayan AS dengan baik.

Ditanya sama ada dia akan menolak kehadiran tentera AS di Venezuela, Trump menjawab: "Tidak, saya tidak menolak itu, saya tidak menolak apa-apa.

"Kami hanya perlu menjaga Venezuela," tambahnya. "Mereka membuang ratusan ribu orang ke negara kita (Amerika Syarikat) dari penjara."

Beberapa jam kemudian, Maduro menerusi rancangan televisyen mingguannya turut menyuarakan kesediaan untuk "bersemuka" dengan sesiapa sahaja di Amerika Syarikat "yang mahu berunding dengan Venezuela."

Dalam pada itu, Trump menuduh Mexico gagal menangani sindiket pengedaran dadah, sekali gus meningkatkan retoriknya terhadap jiran selatan Amerika Syarikat.

"Adakah saya akan melancarkan serangan di Mexico untuk menghentikan pengedaran dadah? Saya bersedia. Apa pun yang kita perlu lakukan untuk menghentikan dadah," kata Trump ketika ditanya pemberita di White House sama ada beliau akan membenarkan operasi membanteras dadah AS di Mexico.

"Saya tidak mengatakan saya melakukannya, tetapi saya bangga melakukannya. Kerana kita akan menyelamatkan berjuta-juta nyawa dengan melakukannya," tegas beliau lagi.

Sejak Ogos, Washington telah mengekalkan kehadiran tentera yang ketara di Caribbean, termasuk enam kapal perang untuk memerangi pengedaran dadah yang menyasarkan pasaran Amerika Syarikat.

EMMI NORALIZA ADNAN