WASHINGTON, 8 September – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan beliau bersedia melaksanakan peringkat kedua sekatan terhadap Rusia berhubung konflik di Ukraine.
Kenyataan itu dibuat selepas Rusia melancarkan serangan udara terbesar sejak perang bermula, yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang termasuk seorang bayi serta merosakkan bangunan kerajaan di Kiev dan beberapa bandar lain.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy berkata serangan dron dan peluru berpandu itu turut menjejaskan Zaporizhzhia, Kryvyi Rih, Odesa, Sumy dan Chernihiv.
Trump juga memaklumkan beliau mengadakan perbualan dengan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev, namun tidak mendedahkan butiran lanjut.
Tokayev sebelum ini menyatakan kesediaan berdialog mengenai perdagangan selepas AS mengenakan tarif baharu 25 peratus terhadap barangan dari Kazakhstan. -REUTERS