BRASILIA, 2 Ogos- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat berkata Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva boleh menghubunginya pada bila-bila masa bagi membincangkan isu tarif dan ketegangan lain antara kedua-dua negara.
“Dia boleh bercakap dengan saya pada bila-bila masa yang dia mahu,” kata Trump mengenai Lula ketika bercakap kepada pemberita di White House.
Beliau menambah bahawa dirinya menyukai rakyat Brazil tetapi “mereka yang menguruskan Brazil melakukan perkara yang salah.”
Di Brasilia, Menteri Kewangan Brazil, Fernando Haddad menyifatkan kenyataan Trump sebagai sesuatu yang “baik,” dan beliau pasti Lula juga berpendapat sama dan sedia menerima panggilan daripada Presiden AS itu.
Dalam hantaran di akaun X miliknya, Lula berkata Brazil sentiasa terbuka kepada dialog, namun tidak menyebut mengenai Trump atau kenyataan terdahulu beliau.
Trump mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas Brazil dengan banyak pengecualian, bermula minggu depan sebagai tindak balas terhadap kepimpinan bekas Presiden Jair Bolsonaro, yang kini dibicarakan atas dakwaan merancang rampasan kuasa selepas kekalahannya dalam pilihan raya 2022. -REUTERS