LOS MAITENES & SANTIAGO, 2 Ogos- Syarikat gergasi tembaga Chile, Codelco menghentikan operasi perlombongan di lombong utama, El Teniente dan menangguhkan pengumuman keputusan suku tahunan ketika usaha menyelamat lima pekerja yang terperangkap dalam runtuhan maut diteruskan pada Jumaat.
Menjelang petang, pekerja yang terperangkap itu sudah hampir sehari tanpa sebarang komunikasi selepas gegaran bermagnitud 4.2 pada Khamis di unit baharu Andesita, sebahagian daripada simpanan tembaga bawah tanah terbesar dunia yang turut mengorbankan seorang mangsa.
Menteri Perlombongan Chile, Aurora Williams, berkata kerajaan akan secara rasmi mengarahkan Codelco menggantung semua operasi bawah tanah di lombong tersebut sebagai sebahagian daripada protokol kemalangan besar.
Presiden kesatuan di syarikat kontraktor Gardilcic, Carlos Chamorro turut menggesa siasatan dijalankan.
Codelco kini sedang menyiasat sama ada kejadian yang turut mencederakan sembilan individu itu berpunca daripada faktor semula jadi di negara yang terdedah kepada gempa bumi atau disebabkan aktiviti perlombongan. -REUTERS