GAZA, 2 Ogos- Angka kematian di Gaza meningkat kepada 60,332 orang dengan 147,643 lagi cedera akibat kekejaman rejim Israel.
Menurut kenyataan pihak berkuasa kesihatan Gaza pada Jumaat, dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, serangan Israel meragut 83 nyawa dan mencederakan 554 yang lain.
Utusan Khas Amerika Syarikat ke Asia Barat, Steve Witkoff pada Jumaat melawat Gaza yang dilanda peperangan bagi meninjau pusat pengagihan bantuan yang dikendalikan Gaza Humanitarian Foundation (GHF), sebuah organisasi swasta yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Menurut angka terkini Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR), sebanyak 1,373 orang terbunuh ketika mencari makanan di Gaza sejak 27 Mei, kebanyakannya akibat tindakan tentera Israel.
Daripada jumlah itu, 859 terbunuh berhampiran lokasi GHF manakala 514 lagi maut di sepanjang laluan konvoi makanan.
Dalam dua hari terakhir bulan Julai sahaja, dilaporkan 105 penduduk Palestin terbunuh, menurut kenyataan tersebut. -REUTERS