WASHINGTON, 23 September- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka akan mengumumkan minggu ini bahawa perjanjian pelupusan operasi TikTok di AS daripada syarikat induk China, ByteDance memenuhi syarat yang ditetapkan dalam undang-undang 2024.
Menurut pegawai White House, di bawah perjanjian itu, ByteDance akan memiliki kurang 20 peratus pegangan manakala TikTok AS bakal dikawal oleh gabungan firma sedia ada dari AS dan antarabangsa serta sejumlah besar pelabur baharu yang tidak mempunyai kaitan dengan ByteDance.
Antara pelabur utama ialah syarikat teknologi, Oracle dan firma ekuiti persendirian, Silver Lake.
Perjanjian itu menetapkan semua data pengguna Amerika disimpan dalam infrastruktur pengkomputeran awan di Amerika Syarikat yang dikendalikan oleh Oracle.
Trump pada Ahad turut menyatakan tokoh media, Lachlan Murdoch bersama pemimpin perniagaan, Larry Ellison dan Michael Dell akan terlibat sebagai pelabur dalam usaha memastikan aplikasi TikTok kekal beroperasi di negara itu.
Pegawai White House berkata Washington yakin China telah meluluskan perjanjian tersebut dan tidak merancang rundingan lanjut dengan Beijing.
Namun, menegaskan kelulusan rasmi masih memerlukan dokumen tambahan daripada kedua-dua pihak.
Kedutaan China di Washington belum memberikan sebarang maklum balas manakala Beijing juga belum mengesahkan kelulusan perjanjian berkenaan. -REUTERS