fb fb fb fb fb

PBB beri amaran kesan AI, perkasa hak wanita

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres bergambar bersama bekas Presiden Liberia, Ellen Johnson Sirleaf, Presiden Perhimpunan Agung PBB, Annalena Baerbock, penerima Hadiah Keamanan Nobel, Maria Ressa, bekas Perdana Menteri Norway, Gro Harlem Brundtland dan Duta Global PBB bagi Keamanan, Maryam Bukar Hassan sempena mesyuarat peringkat tinggi memperingati ulang tahun ke-80 penubuhan PBB di Ibu Pejabat PBB, New York/Reuters

NEW YORK, 23 September- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran mengenai kesan buruk teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).

Guterres menegaskan perkara itu ketika berucap pada mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung sempena ulang tahun ke-30 Persidangan Dunia Keempat mengenai Wanita.

“AI sedang mengubah dunia kita, tetapi transformasi ini berlaku dalam industri yang didominasi lelaki, dibentuk oleh data berat sebelah, dan digerakkan oleh algoritma yang kerap mengukuhkan diskriminasi,” katanya.

Presiden Perhimpunan Agung PBB, Annalena Baerbock pula menekankan isu keterwakilan wanita, dengan menyatakan beliau merupakan wanita kelima daripada keseluruhan 80 presiden Perhimpunan Agung.

Beliau juga menegaskan bahawa dalam sejarah 80 tahun PBB, belum pernah ada seorang Setiausaha Agung wanita.

“Ini bukan sekadar soal keterwakilan, ia menyentuh soal kredibiliti untuk melaksanakan apa yang kita perjuangkan,” katanya.

Mesyuarat itu memperingati Persidangan Dunia Keempat mengenai Wanita di Beijing yang menghasilkan Deklarasi Beijing dan Pelan Tindakan bagi mencapai hak sama rata untuk semua wanita dan kanak-kanak perempuan.

Dokumen yang dipersetujui 189 kerajaan itu memberi tumpuan kepada 12 bidang tindakan termasuk pekerjaan, ekonomi, penyertaan politik, keamanan, alam sekitar dan usaha menamatkan keganasan terhadap wanita. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM