ROM, 23 September- Pasukan bomba di utara Itali sedang giat mencari seorang wanita warga Jerman yang dihanyutkan arus deras selepas hujan lebat mencetuskan banjir dan tanah runtuh di wilayah Lombardy dan Piedmont.
Menurut pihak berkuasa pada Isnin, mangsa dilaporkan hilang di sungai kecil Valla, berhampiran Spigno Monferrato di wilayah Alessandria.
Seramai 27 anggota bomba dengan bantuan dron serta sebuah helikopter dikerah menyusuri tebing sungai dan sebuah empangan berdekatan.
Ribut turut menyebabkan gangguan besar di kawasan lain.
Di wilayah Como, pasukan bomba mengeluarkan penduduk yang terperangkap di rumah dan kenderaan di Cabiate selepas Sungai Seveso melimpah manakala tanah runtuh menghalang laluan kereta api Como–Chiasso.
Di Meda, pasukan penyelamat udara menyelamatkan seorang ibu dan anak perempuannya dari kediaman yang dinaiki air, sementara di Milan aset kereta amfibia digunakan untuk memindahkan kira-kira 300 murid yang terkandas di sekolah di daerah Niguarda. -REUTERS