NEW YORK, 23 September- Perancis pada Isnin mengiktiraf penubuhan negara Palestin ketika sidang kemuncak dunia di New York Amerika Syarikat.
Pengumuman bersejarah itu dibuat selepas hampir dua tahun perang di Gaza tercetus, sekali gus menyertai Britain, Kanada dan sekutu Barat lain yang turut membuat langkah sama sehari sebelumnya, walaupun mendapat tentangan Israel.
“Kita mesti melakukan segala yang termampu untuk mengekalkan kemungkinan penyelesaian dua negara, Israel dan Palestin hidup berdampingan dalam keamanan dan keselamatan.
“Pengiktirafan terhadap hak sah rakyat Palestin tidak sekali-kali menafikan hak rakyat Israel,” kata Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang juga menjadi hos sidang itu dalam ucapan pembukaan sesi tiga jam di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Macron turut menggariskan kerangka bagi penubuhan ‘Pihak Berkuasa Palestin baharu’, dengan Perancis bersedia membuka kedutaan tertakluk kepada pelaksanaan pembaharuan, gencatan senjata serta pembebasan semua tebusan.
Sidang yang dianjurkan bersama Perancis dan Arab Saudi berkenaan dijangka mampu menyuntik semangat baharu dalam perjuangan Palestin menuntut penubuhan negara, meskipun tidak dijangka akan membawa perubahan segera di lapangan.
Selain Perancis, beberapa negara lain termasuk Andorra, Belgium, Luxembourg dan San Marino dijangka mengumumkan pengiktirafan rasmi terhadap Palestin pada Isnin menjelang Perhimpunan Agung PBB minggu ini.
Sementara itu, Australia, Britain, Kanada, Portugal dan Malta telah mengumumkan kenyataan rasmi lebih awal. -REUTERS