WASHINGTON, 15 Jun- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump meraikan ulang tahun kelahirannya ke-79 dengan sebuah perarakan tentera gilang-gemilang di ibu negara, pada Sabtu meskipun ratusan ribu rakyat di seluruh negara turun ke jalanan bagi mengecam pemerintahannya yang dianggap semakin bercorak diktator.
Perarakan tentera yang diadakan di hadapan White House itu menyaksikan Trump berdiri memberi tabik hormat ketika kereta kebal melintasi pentas utama, pesawat tempur mengaum di ruang udara dan hampir 7,000 anggota tentera berarak menjadikan ia antara yang terbesar diadakan di AS dalam tempoh beberapa dekad.
Laungan "USA! USA!" bergema di kalangan penyokong semasa beliau mengambil tempat di pentas utama, dalam acara yang secara rasmi meraikan ulang tahun ke-250 penubuhan Tentera Darat Amerika Syarikat, tetapi juga bertepatan dengan hari lahir Trump sendiri.
Namun begitu, sambutan itu turut dibayangi oleh protes besar-besaran bertemakan "No Kings" yang berlangsung serentak di bandar-bandar utama termasuk New York, Los Angeles, Washington, Houston dan Atlanta, mencerminkan perpecahan politik yang semakin mendalam di negara itu.
"Saya rasa rakyat dah cukup marah," kata Lindsay Ross, 28, seorang pemuzik yang menyertai himpunan di New York yang dianggarkan menghimpunkan puluhan ribu peserta.
Tragedi turut menyelubungi hari sambutan itu apabila seorang ahli politik Demokrat dan suaminya ditembak mati di Minnesota, dalam insiden yang disifatkan pihak berkuasa sebagai serangan sasaran. Trump mengecam kejadian berkenaan yang turut mencederakan seorang lagi penggubal undang-undang dan isterinya.
Perarakan berskala besar seperti itu lebih sinonim dengan ibu negara negara seperti Moscow dan Pyongyang, namun Trump sejak penggal pertamanya telah menyuarakan hasrat untuk menganjurkannya di Washington.
Hasrat itu akhirnya menjadi kenyataan dengan persembahan bernilai AS$45 juta meskipun terpaksa dimulakan setengah jam lebih awal kerana ancaman ribut petir.
Ia dimulakan dengan tembakan tabik hormat 21 das, diikuti penyerahan bendera kepada Trump oleh pasukan payung terjun elit tentera, Golden Knights.
Dua buah kereta kebal Abrams ditempatkan tepat di hadapan pentas utama. Pelbagai aset ketenteraan dari era peperangan berbeza turut dipamerkan, dengan pengacara siaran menyenaraikan kemenangan pasukan tentera Amerika ke atas tentera Jepun, Jerman, China dan Vietnam.
Menerusi laman Truth Social, Trump menggambarkan hari tersebut sebagai "hari besar untuk Amerika!!!" dan turut mendedahkan Presiden Rusia, Vladimir Putin, telah menelefonnya untuk mengucapkan selamat hari lahir. Kedua-dua pemimpin juga dilaporkan bersetuju agar konflik antara Iran dan Israel dihentikan segera.
Di sebalik kehangatan sambutan, ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan utama di serata negara dengan membawa mesej menolak apa yang mereka anggap sebagai penguasaan berlebihan Trump ke atas institusi pemerintahan dan peningkatan simbolisme ‘kuasa mutlak’.
Bagaimanapun, White Hoouse dalam kenyataan balas menolak protes tersebut sebagai “gagal sepenuhnya” dan mendakwa jumlah peserta terlalu kecil, meskipun visual dan gambar dari lapangan menunjukkan jalan-jalan penuh dengan para penunjuk perasaan.
Penganjur menjangkakan demonstrasi berlaku di kesemua 50 negeri Amerika sebagai isyarat jelas bahawa rakyat tidak bersetuju dengan gaya kepimpinan Trump yang semakin menjurus kepada gaya kuku besi.-AFP