MINNESOTA, 15 Jun- Seorang lelaki bersenjata yang menyamar sebagai anggota polis menembak mati wakil rakyat Demokrat dan suaminya, pada Sabtu dipercayai bermotifkan politik.
Menurut Gabenor Minnesota, Tim Walz, kejadian turut mengakibatkan seorang lagi ahli parlimen negeri dan isterinya cedera, manakala usaha memburu suspek sedang giat dijalankan dengan bantuan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
Suspek dikenali sebagai Vance Luther Boelter, 57 tahun, yang kini dalam buruan dan dianggap berbahaya. Beliau dipercayai masih berada di sekitar kawasan Minneapolis-St. Paul, menurut Ketua Biro Penyiasatan Jenayah Minnesota, Drew Evans dalam satu sidang media.
Suspek dikesan melarikan diri dengan berjalan kaki selepas melepaskan tembakan ke arah polis dan meninggalkan sebuah kenderaan yang mengandungi manifesto serta senarai nama ahli politik lain.
“Boelter kali terakhir dilihat memakai topi koboi berwarna cerah. Ketika ini, siasatan masih terlalu awal untuk mengesahkan motif sebenar serangan,” ujar Evans.
Kejadian itu menambah kebimbangan terhadap ancaman keselamatan ke atas pemimpin politik di Amerika Syarikat, terutama menjelang pilihan raya umum yang semakin hampir.-REUTERS