ISFAHAN, 15 Jun- Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) hari ini mengesahkan empat struktur utama di tapak nuklear Isfahan, termasuk loji penukaran uranium dan fasiliti pembuatan plat bahan api, mengalami kerosakan serius susulan serangan udara pada Jumaat lalu.
Menurut kenyataan IAEA di platform X, tiada peningkatan tahap radiasi dikesan di luar kawasan tapak tersebut, sepertimana yang berlaku dalam insiden serupa di Natanz sebelum ini.
Imej satelit beresolusi tinggi yang dikongsi Maxar Technologies turut menunjukkan kemusnahan ketara di Natanz, antara beberapa lokasi strategik Iran yang menjadi sasaran dalam siri serangan udara dipercayai bertujuan menyekat pembinaan senjata nuklear oleh Tehran.
Sementara itu, rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat yang sepatutnya berlangsung di Muscat, Oman pada Ahad dibatalkan, menurut pengesahan rasmi dari kerajaan Oman.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron menerusi hantaran di akaun X turut memaklumkan beliau telah menghubungi Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, bagi menggesa rundingan nuklear disambung semula.
“Ia isu kritikal yang hanya mampu diselesaikan melalui meja rundingan. Saya menjemput Presiden Pezeshkian untuk kembali berunding segera demi kestabilan serantau,” kata Macron.
Penganalisis menjangkakan serangan ke atas tapak nuklear dan peluru berpandu itu bakal merencatkan momentum diplomatik, selain berisiko mencetuskan ketegangan yang lebih besar di rantau Asia Barat.- REUTERS