fb fb fb fb fb

Israel cuba seret AS dalam kancah perang dengan Iran- Putera Mahkota Saudi

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman / REUTERS

TEHRAN, 15 Jun- Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, percaya Israel kini sengaja menyalakan bara konflik dengan Iran.

Laporan IRNA menyebut, langkah itu dipercayai sebagai helah untuk memerangkap Amerika Syarikat menyertai peperangan secara langsung.

Dalam perbualan telefon dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada Sabtu, Putera Mahkota menyatakan keyakinan bahawa Iran akan bertindak secara bijaksana dan menggagalkan matlamat Tel Aviv.

“Hari ini, seluruh dunia Islam bersatu menyokong anda,” titah Mohammed bin Salman kepada presiden itu.

Pezeshkian berkata beliau berusaha untuk memperkukuh keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau itu sejak hari pertama pentadbirannya, namun Israel sentiasa cuba menggagalkan usahanya setiap kali hampir mencapai kejayaan.

Beliau turut menyuarakan harapan agar Iran dan Arab Saudi dapat bekerjasama mewujudkan ketenangan di rantau berkenaan.

Serangan rejim Israel ke wilayah Iran bermula pada malam Jumaat, menyasarkan sistem pertahanan udara serta kemudahan tenaga nuklear dalam gelombang serangan pertama.

Beberapa pegawai kanan tentera Iran turut menjadi sasaran.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio mengumumkan bahawa Amerika Syarikat tidak terlibat dalam serangan tersebut.

Iran melancarkan serangan balas ke dalam wilayah diduduki Israel, termasuk Tel Aviv dan Baitulmaqdis.

Terbaharu, ibu pejabat Kementerian Pertahanan Iran di Tehran menjadi sasaran rejim Zionis awal pagi Ahad. - BERNAMA-IRNA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE