fb fb fb fb fb

Trump mengaku tidak bersalah tiga tuduhan baharu

(FOTO AFP)

MIAMI, 5 Ogos- Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengaku tidak bersalah atas pertuduhan baharu terhadapnya yang didakwa salah mengendalikan dokumen rahsia kerajaan.

Trump, 77, didakwa terbabit dengan tiga jenayah tambahan.

Dalam notis bertulis kepada mahkamah daerah AS di Florida, beliau mengaku tidak bersalah.

Pengakuan itu dibuat sehari selepas Trump mengaku tidak bersalah di mahkamah persekutuan di Washington atas tuduhan bersubahat untuk membatalkan pilihan raya 2020.

Beliau dijadual dibicarakan di Florida pada Mei tahun depan kerana didakwa membawa dokumen sulit ke ladang Mar-A-Lago miliknya dan enggan memulangkannya.

Jun lepas Trump mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyimpan maklumat pertahanan negara secara tidak sah, berkonspirasi untuk menghalang keadilan dan membuat kenyataan palsu.

Pertuduhan tambahan yang difailkan terhadap Trump minggu lalu berkaitan dengan dakwaan usahanya menghalang siasatan FBI dan usahanya mendapatkan semula dokumen sulit.

Dalam pertuduhan baharu beliau didakwa cuba memadamkan rakaman kamera keselamatan di Mar-A-Lago untuk menghalang rakaman itu diberikan kepada FBI dan juri besar.

Turut didakwa dalam kes itu ialah pembantu peribadi Trump Waltine "Walt" Nauta dan pengurus hartanah Mar-A-Lago Carlos De Oliveira. -AFP

(Pertuduhan tambahan yang difailkan terhadap Trump minggu lalu berkaitan dengan dakwaan
usahanya menghalang siasatan FBI dan usahanya mendapatkan semula dokumen sulit/REUTERS)

Media Baharu