fb fb fb fb fb

Serangan siber jejaskan operasi hospital di empat negeri

(Rangkaian Kesihatan Connecticut Timur pula memaklumkan pusat penjagaan cemas
ditutup, dan pembedahan elektif dibatalkan, sehingga diberitahu kelak/Foto fail)

LOS ANGELES, 5 Ogos- Serangan siber menyasarkan rangkaian hospital di Amerika Syarikat memaksa penutupan operasi penjagaan segera dan perkhidmatan kesihatan kritikal lain di fasilitinya merentasi sekurang-kurangnya empat negeri, kata pegawai.

Prospect Medical Holdings, yang mengendalikan 16 hospital di seluruh California, Connecticut, Pennsylvania dan Rhode Island, mengalami "insiden keselamatan data," kata seorang jurucakap dalam satu kenyataan kepada AFP.

"Setelah mengetahui perkara ini, kami membawa sistem kami ke luar talian untuk melindungi mereka dan melancarkan siasatan dengan bantuan pakar keselamatan siber pihak ketiga," katanya.

Hospital Waterbury di Connecticut memaklumkan gangguan komputer itu menjejaskan semua operasi pesakit dalam dan pesakit luar, dengan kakitangan menggunakan "rekod kertas, sehingga ini diselesaikan."

Rangkaian Kesihatan Connecticut Timur pula memaklumkan pusat penjagaan cemas ditutup, dan pembedahan elektif dibatalkan, sehingga diberitahu kelak.

Insiden itu kelihatan seperti serangan perisian tebusan (ransomware), tetapi masih dalam siasatan, kata jurucakap itu.

Serangan perisian tebusan biasanya mengakses sistem komputer yang terdedah dan menyulitkan atau mencuri data, sebelum menghantar nota tebusan yang menuntut bayaran sebagai pertukaran untuk menyahsulit data atau tidak mendedahkannya secara terbuka.

Kumpulan penjagaan kesihatan sering disasarkan.

"Sementara siasatan kami diteruskan, kami memberi tumpuan untuk menangani keperluan mendesak pesakit kami sambil kami bekerja dengan gigih untuk kembali kepada operasi biasa secepat mungkin," kata kenyataan itu. -AFP

(Serangan siber jejaskan operasi hospital di empat neger)

Media Baharu