fb fb fb fb fb

AS lulus pil kemurungan 'zuranolone' selepas bersalin

(Foto hiasan)

WASHINGTON, 5 Ogos- Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) meluluskan pil khas untuk merawat kemurungan selepas melahirkan anak.

Masalah kemurungan dipercayai telah menjejaskan kira-kira 500,000 wanita di negara itu setiap tahun.

FDA dalam kenyataan memaklumkan, ubat antidepresan dikenali sebagai zuranolone adalah ubat oral (makan) pertama yang dihasilkan untuk merawat kemurungan selepas bersalin (PPD).

"Sebelum ini, rawatan untuk PPD hanya tersedia secara suntikan infusi intravena (IV) yang diberikan oleh penyedia penjagaan kesihatan di kemudahan kesihatan tertentu," katanya.

Ketua pegawai perubatan di Carrot Fertility, Dr Asima Ahmad berkata, sekitar satu daripada lapan wanita mengalami gejala PPD, manakala 75% tidak dirawat.

"Angka terbabit meningkat bagi populasi monoriti iaitu 81% wanita kulit hitam dan 76% wanita Hispanik," katanya.

Asima berkata, ujian terhadap pil itu menunjukkan kesan sampingan yang rendah berbanding antidepresan lain yang boleh menyebabkan kehilangan kesedaran secara tiba-tiba, penambahan berat badan atau disfungsi seksual.

Sementara itu, Ketua Psikiatri di Pusat Penilaian dan Penyelidikan Dadah FDA, Tiffany Farchione berkata, PPD adalah keadaan yang serius dan berpotensi mengancam nyawa akibat kesedihan, rasa bersalah dan perasaan seperti tidak bernilai, malah dalam kes yang teruk, wujud pemikiran untuk mencederakan diri atau bayi mereka.

"Mempunyai akses kepada ubat oral akan menjadi pilihan yang bermanfaat untuk kebanyakan wanita berdepan perasaan yang melampau dan kadangkala mengancam nyawa, " katanya.

Pil itu akan dipasarkan di bawah jenama Zurzuvae dan dibangunkan oleh Sage Therapeutics yang berpangkalan di Massachusetts.

Setakat ini, harga pil terbabit tidak didedahkan lagi.

Menurut New York Times, satu-satunya ubat lain yang diluluskan FDA pada 2019 untuk kemurungan selepas bersalin ialah brexanolone iaitu menerusi suntikan IV selama 60 jam di hospital dan berharga AS$34,000 (RM15,4870). -AFP

(Foto hiasan)

Media Baharu