KANANASKIS, 18 Jun- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa berkata masih wujud kemungkinan untuk mencapai perjanjian perdagangan dengan Jepun, susulan pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba di luar Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7).
Bercakap kepada wartawan dalam penerbangan pulang ke AS menerusi pesawat Air Force One, Trump menyifatkan perbincangan dengan Ishiba sebagai “perbualan yang sangat baik”, meskipun tiada persetujuan dicapai berhubung dasar tarif AS, menurut laporan agensi berita Kyodo.
“Orang Jepun memang tegas,” kata Trump sambil menambah, “akhirnya, anda perlu faham bahawa kami hanya akan hantar satu surat yang menyatakan, ‘Ini jumlah yang perlu dibayar, jika tidak, anda tak perlu berurusan dengan kami.’ Tetapi masih ada peluang.”
Pertemuan Trump-Ishiba pada Isnin itu diadakan selepas beberapa siri rundingan di peringkat menteri, dengan Jepun – sekutu utama AS – berusaha mendapatkan kelonggaran terhadap dasar perdagangan dan tarif oleh Washington.- BERNAMA-KYODO