GAZA, 18 Jun- Angka kematian rakyat Palestin di Gaza kini meningkat kepada 55,493 dengan 129,320 yang lain cedera.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, sepanjang tempoh 24-jam yang lalu, serangan Israel telah membunuh 61 rakyat Palestin serta mencederakan 397 orang.
Serangan Israel juga membunuh sekurang-kurangnya 51 orang ketika mereka sedang menunggu bantuan di Khan Younis di selatan Gaza, semalam.
Manakala lebih 200 orang cedera dengan 20 dalam keadaan kritikal ketika serangan terbabit.
Kenyataan itu juga menyebut bahawa kakitangan perubatan terpaksa bekerja di bawah tekanan yang melampau di tengah-tengah kekurangan ubat-ubatan serta bekalan lain yang penting.
"Sistem kesihatan berada di ambang kehancuran akibat kekurangan ubat dan sumber perubatan yang menyelamatkan nyawa," kata pihak berkuasa sambil menyeru masyarakat antarabangsa dan organisasi kemanusiaan untuk segera memberikan bantuan perubatan ke Gaza. -REUTERS