fb fb fb fb fb

Trump kenakan tarif tinggi terhadap barangan dari puluhan negara

Foto Reuters

WASHINGTON, 1 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan tarif import tinggi ke atas barangan dari puluhan negara termasuk Kanada, Brazil, India, Taiwan dan Switzerland, menjelang tarikh akhir rundingan perdagangan.

Menurut perintah eksekutif yang dikeluarkan, kadar baharu tersebut melibatkan kenaikan sehingga 50 peratus, dengan 69 negara dikenakan duti import antara 10 hingga 41 peratus, berkuat kuasa dalam tempoh tujuh hari.

Sebahagian negara telah mencapai perjanjian untuk mengurangkan tarif, manakala selebihnya tidak diberi peluang berunding.

Barangan yang dihantar dalam masa seminggu diberi pengecualian, manakala negara lain yang tidak disenaraikan turut dikenakan cukai import 10 peratus.

Dalam langkah berasingan, tarif ke atas barangan Kanada berkaitan fentanyl iaitu sejenis dadah opioid sintetik dinaikkan daripada 25 kepada 35 peratus kerana didakwa gagal membendung aliran dadah haram ke AS.

Sebaliknya, Mexico diberi penangguhan 90 hari daripada tarif 30 peratus, sementara 85 peratus importnya dilindungi di bawah Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA).

Namun, tarif 50 peratus kekal ke atas logam dan 25 peratus ke atas kenderaan serta barangan tidak mematuhi USMCA. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN