BANGKOK, 1 Ogos – Thailand menyatakan komitmen untuk memperkukuh daya saing perdagangan negara itu susulan perjanjian tarif terbaharu dengan Amerika Syarikat yang menetapkan kadar baharu sebanyak 19 peratus.
Menteri Kewangan, Pichai Chunhavajira berkata kadar tarif yang lebih rendah itu akan membantu meningkatkan kedudukan Thailand di pasaran global, mengukuhkan keyakinan pelabur, serta membuka lebih banyak ruang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Kadar baharu ini adalah jauh lebih rendah berbanding 36 peratus yang diumumkan pada April lalu dan lebih sejajar dengan kadar tarif yang dikenakan terhadap negara serantau lain,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Amerika Syarikat merupakan pasaran eksport terbesar Thailand pada tahun lalu, menyumbang 18.3 peratus daripada keseluruhan eksport negara, dengan nilai berjumlah AS$54.96 bilion (RM261 bilion).
Menurut Pichai, kerajaan sedar akan kesan tarif terhadap sektor perniagaan dan pertanian tempatan, justeru pelbagai langkah sokongan telah disediakan termasuk peruntukan belanjawan, pinjaman mudah, subsidi, insentif cukai serta pembaharuan dari segi peraturan. -REUTERS