WASHINGTON, 1 Ogos – Perdana Menteri Kanada, Mark Carney meluahkan kekecewaan susulan keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menaikkan tarif ke atas barangan Kanada daripada 25 kepada 35 peratus bagi produk yang tidak dilindungi bawah Perjanjian Perdagangan Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA).
Menurut White House, barangan yang dihantar melalui negara ketiga bagi mengelak tarif itu turut akan dikenakan cukai atau bayaran tambahan sebanyak 40 peratus.
Washington mengaitkan langkah tersebut dengan dakwaan kegagalan Kanada membendung penyeludupan fentanyl iaitu sejenis dadah opioid sintetik ke Amerika Syarikat (AS), sekali gus menjadi episod terbaharu dalam perang tarif yang dimulakan Trump sejak awal pentadbirannya.
Trump berkata negara yang gagal mencapai perjanjian perdagangan dengan AS sebelum 1 Ogos akan dikenakan tarif lebih tinggi, dan menuduh Kanada menunjukkan "tindakan berterusan dan balas dendam".
Carney dalam satu kenyataan berkata tarif tersebut akan memberi kesan besar terhadap industri kayu, keluli, aluminium dan automotif Kanada.
Beliau berikrar akan melindungi pekerjaan, menggalakkan penggunaan produk tempatan, serta mempelbagaikan pasaran eksport negara itu.
“Kerajaan Kanada akan terus memberi tumpuan penuh kepada perkara yang berada dalam kawalan kami: membina Kanada yang kuat,” tegasnya. -REUTERS