fb fb fb fb fb

Penyakit Lyme tidak halang Timberlake terus beraksi di pentas

Justin Timberlake / Foto Reuters

LOS ANGELES, 1 Ogos – Penyanyi dan pelakon terkenal, Justin Timberlake mendedahkan beliau telah disahkan menghidap penyakit Lyme, satu keadaan yang disifatkannya sebagai amat melemahkan dari segi fizikal dan mental.

Perkara itu diumumkan menerusi satu hantaran di Instagram selepas beliau menamatkan jelajah Forget Tomorrow, yang menyaksikan Timberlake mempertimbangkan untuk menarik diri daripada siri persembahan tersebut selepas menerima diagnosis.

Namun, beliau akhirnya memilih untuk meneruskan persembahan kerana berasakan kegembiraan yang dirasai ketika berada di pentas mengatasi tekanan fizikal yang dialaminya.

“Kegembiraan yang saya peroleh daripada membuat persembahan jauh mengatasi tekanan sementara yang dirasai oleh tubuh saya. Saya sangat bersyukur kerana meneruskannya,” tulis Timberlake.

Penyakit Lyme ialah jangkitan bakteria yang disebarkan melalui gigitan kutu, dan boleh menyebabkan simptom seperti sakit kepala, demam, keletihan dan ruam.

Sekiranya tidak dirawat, penyakit tersebut boleh merebak ke jantung, sendi dan sistem saraf, serta memberi kesan jangka panjang kepada penghidapnya. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN