fb fb fb fb fb

Prabowo beri pengampunan kepada dua tokoh politik pembangkang

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto/Foto REUTERS

JAKARTA, 1 Ogos – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memberikan pengampunan kepada dua tokoh politik pembangkang yang baru dijatuhi hukuman penjara, dalam langkah yang dilihat bermotifkan perpaduan politik menjelang sambutan Hari Kemerdekaan negara itu pada 17 Ogos.

Menurut Menteri Undang-Undang, Supratman Andi Agtas, pengampunan diberikan kepada Hasto Kristiyanto, Setiausaha Agung Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP), dan Thomas Trikasih Lembong, bekas Menteri Perdagangan era Presiden Joko Widodo yang juga pengurus kempen pesaing Prabowo dalam pilihan raya presiden lalu.

Hasto dijatuhi hukuman 3 tahun setengah minggu lalu atas kesalahan merasuah pegawai pilihan raya.

Meskipun sabitannya kekal, pengampunan oleh presiden membatalkan hukumannya.

Sementara itu, Lembong yang dihukum penjara 3 tahun setengah kerana penyelewengan lesen import gula, diberikan penghapusan yang membebaskannya daripada sabitan dan hukuman.

"Kita perlu membina negara ini bersama dengan semua elemen politik... dan kedua-duanya telah menyumbang kepada republik ini," kata Supratman dalam sidang media, sambil menegaskan langkah itu sebahagian daripada semangat perpaduan dan sambutan kemerdekaan.

Pengampunan kepada Hasto adalah antara lebih 1,100 pengampunan yang diberikan tahun ini, menurut Supratman.

Namun, langkah Prabowo ini mengundang kritikan.

Pakar undang-undang dari Sekolah Undang-Undang Jentera Indonesia, Bivitri Susanti, menyifatkan pengampunan terhadap Hasto sebagai langkah “politik” untuk merapatkan hubungan dengan PDIP, parti pembangkang terbesar di parlimen.

Bagi Lembong pula, katanya, ia mungkin reaksi kerajaan terhadap tekanan awam yang semakin meningkat.

Pengarah Yayasan Bantuan Hukum Indonesia, Muhammad Isnur turut menyuarakan kebimbangan bahawa tindakan itu bakal mencetuskan persepsi campur tangan eksekutif terhadap sistem kehakiman.

"Ia menunjukkan kerajaan boleh campur tangan dalam penguatkuasaan undang-undang dan menjadikannya sebagai tawar-menawar politik," katanya. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD